Integrasi Nasional
Isu integrasi nasional merupakan salah satu daripada cabaran penting dalam negara kita.Oleh itu,cara yang paling berkesan untuk menanganinya adalah melalui peranan guru di sekolah.Integrasi nasional merupakan satu proses penyatuan antara kumpulan manusia yang berbeza dari segi latar belakang,status sosial dan budaya untuk membentuk satu entiti yang mempunyai pegangan norma,sistem nilai serta mengamalkan kehidupan bersama.Penyatuan ini pada akhirnya akan mewujudkan perkongsian persefahaman dan pemikiran antara kaum di sesebuah negara.
Integrasi nasional merujuk kepada satu proses dinamik untuk merapatkan masyarakat di setiap negeri di malaysia.khususnya antara negeri-negeri di semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak yang bertujuan membentuk satu bangsa malaysia yang mempunyai identitinya sendiri berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara (Jawatankuasa Integrasi Nasional,Jun 1991 ).
Usaha membentuk satu bangsa Malaysia amat mencabar kerana selepas kemerdekaan,masalah perkauman tetap merupakan satu isu serius dan perlu diambil perhatian.Malaysia yang terdiri daripada penduduk berbilang kaum pernah menghadapi masalah dan konflik kaum,khasnya peristiwa 13 Mei 1969.Walaupun sudah 50 tahun merdeka,penduduk berbilang kaum masih melalui pelbagai liku peristiwa pasang surut,pahit dan manis.Namun begitu,rakyat dengan latar belakang budaya,agama,bahasa dan asal keturunan yang berbeza akan terus bergerak maju mengharungi pelbagai cabaran dan halangan dalam perhubungan sosial bagi mewujudkan persekitaran yang harmoni,damai dan selamat ( Zahid Ahmad,2006 ).
Antara peristiwa yang tercetusnya ketegangan kaum adalah peristiwa 13 Mei 1969 dan peristiwa Kampung Medan yang berlaku pada 12 Mac 2001.Dalam pada itu,wujud juga prasangka,amalan diskriminasi dan sikap prejudis dalam kalangan kumpulan etnik yang boleh juga mencetuskan rasa tidak senang dalam kumpulan etnik tertentu.Tambahan pula,isu-isu yang berkaitan dengan perpaduan dan integrasi nasional terdiri daripada:
1)Tindakan kerajaan membantu kaum Bumiputera dalam bidang sosioekonomi dilihat sebagai diskriminasi oleh kaum-kaum lain.
2)Kurangnya sensitiviti dan toleransi terhadap agama-agama lain.
3)Kurangnya semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat.
4)Peningkatan kes-kes gejala sosial yang dapat menjejaskan proses integrasi.
5)Pembangunan ekonomi yang tidak seimbang.
6)Fahaman politik yang melampau.
7)Peranan Media massa yang mensensasikan isu-isu perpaduan.
( Jabatan Perpaduan Negara & Integrasi Nasional,2005 )
Justeru,banyak usaha telah dirancang dan dilaksanakan oleh pihak kerajaan yang memerintah dan pihak sekolah untuk memupuk integrasi nasional dan seterusya membentuk satu bangsa Malaysia.Usaha Malaysia untuk membentuk negara bangsa telah dinyatakan dalam Wawasan 2020 seperti berikut:
"Malaysia tidaklah harus menjadi negara yang maju dari segi ekonomi semata-mata tetapi perlu merangkumi semua aspek.Kita hendaklah mencapai kemajuan sepenuhnya dari segi perpaduan negaradan kesepaduan sosial,ekonomi,keadilan sosial,kestabilan politik,sistem pemerintahan,mutu kehidupan,nilai-nilai sosial dan kerohanian,selain mempunyai rasa bangga dan keyakinan akan bangsa sendiri.
( Tun Dr.Mahathir Mohamad,The Way Forward: Vision 2020,1991)
No comments:
Post a Comment